Thursday, May 22, 2008

Qalbu Mati Bagai Katak Direbus

Disiarkan di Risalah Mimbar An-Nur Keluaran 2/1429 pada 23 Mei 2008

Cerita bagaimana katak mati direbus tanpa paksa ada baiknya jadi renungan. Konon katanya jika seseorang cuba membunuh katak dengan memasukkannya dalam air yang sedang mendidih, ia pasti akan segera melompat keluar kerana tak tahan panas. Maka selamatlah ia. Tapi jika ia diletakkan dalam air sejuk yang sedang dididih, secara tak sedar ia akan merasa seronok dengan kehangatan air yang sedang naik panas secara perlahan-lahan. Di saat ia merasa harus keluar melepaskan dirinya, ia sudah kehilangan kuasa melompat dan akhirnya mati direbus. Sia-sia, kan !

Fenomena qalbu mati perlahan-lahan umpama katak yang direbus boleh berlaku pada diri kita. Jika qalbu tidak kita jaga dengan rapi, ia ter-dedah kepada pelbagai unsur perosak di sekitarnya.

Imam Ghazali rahimahullah, membicarakan dengan panjang lebar tentang pentingnya memelihara qalbu kerana qalbu adalah raja yang menguasai perilaku setiap individu.

Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita : “Ketahuilah bahawa dalam jasan anak Adam itu terdapat seketul daging. Jika baik daging itu, maka akan baik jugalah tubuhnya. Jika busuk daging itu, maka busuklah seluruh tubuhnya. Ingatlah bahawa ia adalah QALBU.” ( Riwayat Bukhari & Muslim)

Meskipun dalam bahasa Arab, qalbu ini secara fizikal merujuk kepada jantung. Imam Ghazali menerangkan bahawa yang dimaksudkan dengan qalbu di sini tidak bersifat fizikal. Ia adalah salah satu unsur abstrak yang menjadi bahagian daripada diri ( nafs ) seseorang. Masyarakat Melayu seringkali menyifatkannya sebagai hati yang juga tidak merujuk kepada hati yang fizikal.

Walaupun qalbu disifatkan umpama raja yang memerintah, ia amat sensitif kepada persekitaran di mana ia dedahkan dan budaya mana ia dibiasakan. Qalbu tidak menjadi baik dengan sendirinya. Kesejahteraan qalbu perlu disemai dan dipupuk. Jika disemai dengan iman ia hidup dan berfungsi melindungi tuannya bila berdepan dengan bahaya. Jika dibiasakan dengan maksiat, ia akan mati dan hilang imuniti menghadapi ancaman.

Kisah katak mati direbus mengajar kita bagaimana pentingnya kita berwaspada kepada piawai iman yang kita tetapkan untuk diri kita sendiri. Kerana tidak peka kepada ancaman, maka sang katak menjadi selesa dengan haba yang menghangatkan tubuhnya. Ia secara tak sedar telah membiarkan dirinya menurunkan piawai peringatan tahap bahaya yang mengancam nyawanya.

Begitulah ibaratnya bila seseorang suka mengambil sikap “tak apa’ kepada ancaman imannya. “Tak apa kalau sekali-sekali ke tempat hiburan bermaksiat. Nanti dah sampai masa taubatlah.” “Tak apa tak baca Quran. Tapi kalau tak baca suratkhabar sehari resah semacam.” “Tak apa sesekali tinggal solat. Nanti kalau dah ada mood boleh le qadha.” Begitulah gejala “tak apa” yang menampakkan betapa mudahnya kita berkompromi dengan piawai yang lebih rendah dalam hal iman.

Tidak jarang pula bila sampai masanya dia sedar akan kekhilafannya, dia sudah terlambat untuk kembali. Maut lebih awal tiba. Atau, fungsi akalnya telah berkurang, lidah pun sudah keras, kaki-tangan sudah lemah-longlai, kewarasan sudah berkurang.

Maka jagalah qalbu dengan mendekatkan diri kepada Khaliqnya. Sering-seringlah berziarah ke rumah Allah untuk menghidupkannya agar ia berfungsi secara wajar menjaga tuannya daripada mara bahaya yang seringkali tak terduga.





Coretan :
IMAM 2, Masjid An-Nur, UTP
abufaiz64@yahoo.com

RM 50 vs RM 1

Sekelumit kisah fiktif yang saya terima secara 'forward' dari akhuna M Faidhah pagi ini, saya kira cukup mudah dicerna dan memberi teguran yang menyentuh jauh ke dalam diri.

Kisahnya :
"tersebutlah satu kisah (untuk renungan semua).....satu hari...Duit seringgit telah bertemu dengan lima puluh ringgit ;Duit seringgit bertanya: "Oit, lama tak nampak, mana ko pergi?" Lima puluh menjawab " Aku pergi merata tempat. Pergi stadium tgk bola, Naik STAR Cruise, gi KK naik AirAsia, lepak One Utama, konsert AF, M'sian Idol.. tempat2 cam tuh lah. Eh, ko camner lak?" Duit singgit menjawab perlahan seraya menunduk, "Hmm... biasa lah.. Balik-balik tempat yg sama…………'SURAU…., MASJID……., SURAU………"Utk duniawi byk yg kita gunakan RM byk tp utk akhirat pulak hanya sedikit shj..THINK ABOUT THIS..."

Tugas kita menyuburkan ma'ruf dan membenteras munkar

Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menegakkan perkara yang ma’ruf ( syariat ) , serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya.

Surah Aali Imran : Ayat 104