Monday, July 19, 2010

Mereka pejuang senyap

Sudah lama tidak menjengah blog yang memang tidak harapkan ada pengunjung ini. Ruang ini hanyalah tempat menggoreskan apa yang menyentuh hati merakamkan apa yang diharap menjadi inspirasi sesiapa yang ditakdirkan Allah sempat singgah,

Semalam sempat saya mengisi majlis yang dianjurkan oleh saudara-saudara kita dari Indonesia yang merantau mencari rezeki di bumi Allah yang bertuah ini. Tema yang dimaksudkan untuk menghangatkan zikra Isra dan Mi'raj itu dihalakan ke "Kuatkan Cinta meskipun belum berjumpa". Sudah tentu ini sangat menguja kerana saya sendiri bukanlah pakarnya berbicara soal cinta-kasih seperti penulis-penulis tenar seperti Ust Hasrizal atau Habiburrahman asy-Syirozi.

Berbekalkan carian hadith cinta Rasul kepada umat dan cinta para sahabat kepada baginda, justeru jurang antara standard cinta yang telah diteladankan oleh baginda dan para sahabat dengan hakikat capaian diri membuat saya semakin kerdil untuk berbicara tajuk ini.

Namun kegigihan saudara kita yang tergabung di dalam wadah Ikatan Pekerja Muslimin Indonesia untuk menjayakan majlis ini meskipun dengan sambutan dan kehadiran yang sangat sederhana, mendorong saya untuk menggagahkan diri menghuraikan apa yang diharapkan seadanya. Sedar tak sedar, lebih sejam setengah juga masa yang dihabiskan. Kebanyakan mereka adalah akhawat yang didukung oleh segelintir kecil muslimin yang disandarkan untuk tugas-tugas yang memerlukan mereka ke depan.

Di hati saya terdetik ungkapan "Merekalah serikandi senyap !" Di antara kesibukan tugas mencari rezeki meringankan beban keluarga di kampung, mereka masih dapat menyempatkan diri bukan hanya untuk majlis ini, bahkan majlis-majlis pengajian rutin untuk menyediakan wadah bagi rakan sewarga dan senasib agar tidak hanya dalam arus khayalan dan silauan hidup di rantauan. Tentu bukan sedikit masa yang dicurahkan untuk mencari dana, menyusun gerak kerja, mempromosikan, memujuk dan seumpamanya sedangkan mereka juga terdesak di antara tuntutan kerja yang kebanyakannya di perkilangan.

Tanpa kiprah mereka yang menjalankan amanah ini, sudah tentu sindrom kehanyutan yang meresahkan mereka akan lebih parah lagi. Dalam dingin sambutan mereka tetap bertahan.

Malam ini, deringan telefon dari sahabat sekerja bahawa seorang muslimat yang menjadi nadi penggerak program muslimat di surau dalam kariah kami kini koma di hospital. Doa tulus diharapkan agar beliau dapat kiranya Allah memudahkan beliau untuk pulih kembali. Sekali lagi saya diingatkan dengan seorang lagi serikandi senyap dalam kehidupan dakwah kita. Mereka bukanlah tokoh-tokoh glamor yang nama mereka sering terpampang di media sebagai apa sahaja. Mereka hanyalah pemangkin kepada kelangsungan program-program dakwah setempat yang rajin mengumpulkan sahabat handai dan memanfaatkan tenaga para ustaz. Mereka membolehkan surau kecil sempit menjadi gudang penyimpan cikal ilmu untuk bekalan ke rumah dan menyirami keluarga dengan siraman dingin iman dan taqwa yang mereka perolehi di surau kecil. Mereka tidak mencari nama. Mereka hanya dikenali lewat SMS yang sering menerjah inbox bertanyakan sama ada kita yang mereka percaya boleh berbagi ilmu sempat singgah di laman mereka.

Ya Allah, kuatkanlah para pejuang senyap ini dan banyakkanlah bilangan mereka agar tertegak din mu lewat kesenyapan mereka unuk memenuhi setiap inci bumi dengan daulat kalimah-Mu.

1 comment:

Anonymous said...

Inilah bentuk perjuangan yang kita inginkan. Tidak perlu glamor tetapi kerjanya berjalan...