Tuesday, November 1, 2011

Indahnya Mencari Ilmu


 
Kemiskinan, bukan alasan dalam mencapai kecemerlangan ilmu: Imam Syafi’I (w. 820 M), adalah seorang anak yatim dan miskin, telah menghafal al-Qur’an ketika berumur 7 tahun, dan menghapal pula kitab Fikih Imam Malik ketika berumur 10 tahun. Beliau juga telah dianggap layak untuk membuat fatwa ketika berumur 12 tahun (Anwar Ahmad Qadri, 1981, Islamic Jurisprudence in the Modern World, Lahore: Sh. Muhammad Ashraf, hlm. 124). Sewaktu dewasa beliau biasa menghabiskan 1/3 malam belajar. (al Ghazali, Ihya Ulumiddin, terjemahan N. A. Faris, 1979, The Book of Knowledge, Lahore: Sh. Muhammad Ashraf, hlm: 59).
Kecacatan, bukan alasan dalam mencapai kecemerlangan ilmu: Abu Hasan al-Tamimi (w. 918 M) adalah seorang yang buta, tetapi kecintaannya pada ilmu menjadikan beliau belajar melalui pendengaran saja sehingga menjadi ulama fiqh mazhab Syafi’I yang terkenal. (George Makdisi, 1981, The Rise of Colleges, EdinburghEdinburgh University Press, hlm: 99).
Situasi Sosial Politik yang Tidak Stabil, bukan alasan dalam mencapai kecemerlangan ilmu: Ibn Taymiyyah (w. 1328 M) yang dilahirkan ketika keadaan politik umat Islam kacau balau di bawah keganasan Mongol dan Perang Salib, hidup dalam iklim keilmuan keluarganya. Beliau mempelajari al-Qur’an, Hadith, Fiqh, matematika, sejarah, sastra, imu kalam serta filsafat dan tamat pada belajar  ketika berumur 21 tahun. (Qamaruddin Khan, 1985, Political Thought of Ibn Taymiyyah, Islamabad: Islamic Research Institute, hlm: 2-4).
Kesenangan Hidup juga tidak menjadikan diri menjadi Malas untuk mencapai kecemerlangan ilmu: Ibn Hazm (w. 1064 M) yang dilahirkan di Qordoba dan Ibn Khaldun (w. 1406) yang dilahirkan di Tunis, keduanya berasal dari lingkungan keluarga yang berada, berpendidikan dan berpengaruh. Mereka yang dibesarkan dalam suasana kelimuan yang biasa dialami oleh anak-anak seperti itu mempelajari semua bidang agama dan filsafat. Bidang kajian Ibn Hazm lebih luas lagi sehingga sampai meliputi perobatan (kedokteran) yang beliau tidak amalkan secara serius mungkin karena terpaksa berpindah pindah disebabkan suasana politik yang tidak stabil. (A.G. Chejne, op.cit,, hlm: 36-43 dan Ibn Khaldun, Muqaddimah, terjemahan Franz Rosenthal, hlm: vii-xii).
Kedudukan dan Umur bukan faktor penghalang untuk terus belajar: Imam Abu Hanifah, walaupun sudah mempunyai pengikut dan masyhur, ternyata masih belajar lagi dengan Imam Malik yang 13 tahun lebih muda daripadanya. (Shibli Nu’mani, 1982, Imam Abu Hanifah: Life and Work, terjemahan M. Hadi Hussain, Lahore: Institute of Islamic Culture, hlm: 30).
Al-Jahiz (w. 869 M) adalah seorang budak hitam, sekaligus berprofesi sebagai penjual roti dan ikan, ternyata beliau mampu mencapai ketinggian ilmunya bukan hanya sekedar dengan cara menghadiri kuliah (ceramah-ceramah/halaqoh) tetapi dengan cara bergaul dengan ilmuwan di Mirdad, yaitu sebuah kawasan terbuka di pinggir Basra. Mirdad adalah tempat pertemuan para kabilah dan para ilmuwan yang saling bertukar berbagai ragam bahasa Arab Badui. Al Jahiz juga sering mengunjungi masjid dan mempelajari hal-hal yang berguna daripada para pengunjung masjid yang lain (masjidiyun). Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupan yang benar-benar cinta akan ilmu. Beliau yang lumpuh tubuh badannya meninggal dunia tertindih oleh buku-buku yang selalu tersimpan di sekelilingnya. (Charles Pellat, 1969, The Life and Works of Jahiz, Berkeley/Los Angeles: University of California Press, hlm: 3-9).
Abu Rayhan Al Biruni (w. 1048 M) menguasai berbagai disiplin ilmu, ahli sains, ahli perundangan, ahli perbandingan agama dan menguasai berbagai bahasa seperti Arab, Parsi, Turki, Yahudi dan Sambani, dan ketika mengikuti Mahmud Ghaznawi ke India selama 14 tahun, beliau mempelajari bahasa Sanskrit untuk menulis tentang agama dan budaya orang India. (G. Allana, 1979, “Abu Rayhan Muhammad Ibn Ahmad al Biruni: A Restless Genius in Search of Knowledge”, dalam Al-Biruni Commemorative Volume: Proceedings of the International Congress, Hakim Mohammad Said, (ed.), Karachi: Hamdard National Foundation, hlm: 149-157). Ternyata ketika beliau sakit parah masih mendesak seorang sahabatnya yang menziarahinya, agar memberikan jawaban terhadap satu persoalan fiqh yang beliau rasa belum mendapat jawaban yang tepat. Sahabatnya dengan nada kasihan bertanya kepada al Biruni: Apakah ini waktu yang tepat untuk membahas tentang persoalan fiqh sedangkan engkau dalam keadaan seperti ini? Al Biruni menjawab dengan tegas bahwa beliau tidak mau meninggalkan alam fana ini dalam keadaan jahil (tidak tahu/bodoh) tentang penyelesaian persoalan tersebut. (Ahmad Shalaby, 1945, History of Muslim Education,Beirut: Dar al-Kashshaf, hlm: 179).
Ibn Rushd (w. 1198 M) hanya bercuti (libur) 2 hari sepanjang hidupnya dari kerjanya yaitu mengajar, menulis dan memberi fatwa sebagai Qodi, yaitu pada hari kematian bapaknya dan dan pada hari perkawinannya. (Miguel Cruz Hernandez, 1989, “Ibn Rushd dan Musa Ibn Maymun-Ahli Falsafah al-Andalus”, Kurier UNESCO, no 11, hlm: 9).
Ibn Sina (w. 1037 M) yang hidup di Iran disekitar abad ke-10 dan ke-11 Masehi, telah menerima pendidikan al-Qur’an dan kesusasteraan ketika masih kecil. Setelah sampai pada usia 10 tahun beliau telah mengkhatamkan al-Qur’an dan banyak kitab kesusasteraan. Sejak kecil beliau dan saudara kandungnya telah ditunjukan kepada perbincangan filsafat tentang masalah akal dan roh, geometrid an ilmu hisab India. Beliau dihantar oleh ayahnya mempelajari ilmu hisab India dan matematika daripada seorang penjual sayur yang menguasai bidang ini. Kemudian beliau juga giat pula mempelajari ilmu Fiqh dan menguasaiya. Setelah itu beliau mengkahi filsafat, khasnya kitab Isagoge karangan Porphyry, seorang tokoh filsafat Yunani Kuno. Beliau belajar ilmu logika dengan cara otodidak sampai menguasainya. Kemudian beliau juga memabca sendiri teks dan komentar tentang sains kedokteran dan metafisika. Beliau juga membaca kitab perobatan dan mengatakan bahwa ilmu perobatan tidaklah terlalu sulit. Oleh karenanya, dalam waktu yang singkat telah menguasainya dan tidak sedikit para pakar perobatan yang belajar kepadanya. Beliau merawat orang-orang yang sakit dan mendalami lagi ilmu perobatan. Pada usia 16 tahun, beliau melibatkan diri dalam ilmu perundangan dan sering berpolemik tentang hal tersebut.
Kemudian, selama satu setengah tahun beliau belajar dan mengkaji tentang filsafat dengan mendalam. Apabila merasa letih dan mengantuk ketika belajar, maka beliau akan meminum jus buah-buahan untuk menyegarkan badan dan meneruskan bacaan. Beliau banyak bersembahyang di masjid dan berdoa agar Allah memberikan penjelasan terhadap persoalan yang sukar dipahaminya. Beliau melaksanakan hal tersebut secara istiqamah sehingga semua bidang ilmu seperti logika, sains kedokteran dan matematika dikuasainya. Kemudian beliau membaca kitabMetafizika karangan Aristotle sebanyak 40 kali tetapi masih belum memahaminya sehingga akhirnya beliau menemukan ulasan (penjelasan) al-Farabi tentang kitab metafizikanya Aristotle. Beliau merasa sangat gembira ketika dapat memahami kitab yang hampir 500 halaman tersebut, lalu beliau mendirikan sholat sunat dan banyak bersedekah. Ketika beliau dipanggil untuk membantu Sultan Nuh al-Mansur di Bukhara, beliau mengambil kesempatan buku-buku di perpustakaan besar kepunyaan sultan itu dan telah selesai menguasai semua bidang ilmu setelah berumur 18 tahun. (William E. Gohlman, 1974, The Life of Ibn Sina: A Critical Edition and Annotated Translation, New York: SUNY Press).
Syed Muhammad Naquib  Al-Attas: Ketika beliau sedang menyiapkan penjelasan tentang karya Hujjatul Siddiq oleh Syeikh Nurudin al-Raniri pada awal 1980an, al-Attas membuat kajian di Perpustakaan Universiti Chicago. Dalam beberapa pertemuan dengan Prof. Dr Wan Mohd Nor Wan Daud di sana beliau mengakui amat sukar tidur sebab memikirkan maksud penulis kitab tersebut. Bahkan, karena kesungguhan beliau dalam memahami maksud kitab tersebut sampai-sampai beliau seakan-akan berbicara dengan al-Raniri sendiri. Beliau pernah menyatakan kepada Prof Wan, bahwa ketika menulis tentang episode-episode sejarah, beliau seolah-olah dapat melihat dengan mata hatinya rentetan-rentetan semua peristiwa penting dalam episode berkenaan. Hal yang sama juga berlaku ketika beliau merancang dua kampus ISTAC di Jalan Damansara dan Persiaran Duta yang indah dan berperibadi unik itu. Beliau dapat membayangkan setiap sudut dari bangunan itu dan semua yang ingin diletakkan di dalamnya seperti seorang penghias dalaman dan juru lanskap(Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Artikel: Falsafah dan Metodologi Pengkajian Sejarah Syed Muhammad Naquib Al-Attas pada Seminar Khas Sejarah Alam Melayu: Antara Fakta dan Khayalan, anjuran CASIS di Bilik Jemaah UTM International Campus Kuala Lumpur,  9hb Sept 2011).

No comments: