Sunday, January 25, 2009

Interval : Biarlah tutur kata kita bermanfaat



Sekali jari-jemari kita mulai mengetuk keyboard, biarlah setiap detak ketukan itu menghasilkan pahala. Jangan sesekali kita menjengah ruang-ruang dosa yang sentiasa menggoda dan menunggu saat kita mengetuk pintunya.


Biarlah setiap kalimat yang kita susun untuk tatapan setiap insan yang sempat singgah atau terserempak dengan tulisan kita di sini tergolong dalam perkara yang khair ( kebajikan ) selari dengan saranan Rasulullah s.a.w. :


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ


"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhir maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam." ( Petikan sebahagian daripada hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim )


Dunia maya membuka ruang yang begitu luas untuk kita memilih apa sahaja yang hendak kita perkatakan dan pilihan medium dan format yang begitu banyak. Mungkin itu juga yang mendorong ramai kita untuk bercakap lepas tanpa kendali. Adakalanya didorong oleh kerahsiaan identiti sehingga merasa selamat daripada dikesan oleh sasaran bicara kita.


Inilah ujian kejujuran dan ketelusan yang sangat tinggi untuk kita buktikan kualiti dan kematangan kita sebenar. Tak ramai yang sanggup tampil dengan identiti yang jelas kerana tidak mahu menanggung risiko kesan timbal balik tutur katanya atau mengekalkan 'kebebasan' bertutur kata di luar norma dan etika. Tidak sedikit yang menumpang atas nama kebebasan bersuara dan mengekspresi diri tanpa mengambilkira kesan berantai daripada perbicaraannya.


Maka sebagai seoranga mukmin yang mencari keredhaan Allah swt, sewajarnya kita memulakan setiap tutur bicara kita kukuh di atas niat tersebut. Sudah pasti berbeza seorang hamba yang berbicara atas dasar taqwa kepada ALLAH dan mereka yang tiada peduli apakah Allah akan redha atau murka . Ini termasuk mereka yang menyusun kata hanya untuk tatapan manusia dan mencari keredhaan manusia.


Lantaran itu, berhati-hatilah memilih tutur kata bila sedang menyajikan isi blog. Bukan maksud saya kita perlu pertimbangkan risiko kerana selalunya manusia akan mengambil risiko atas dasar kerelaan dan kemarahan manusia. Pertimbangkan keredhaan Allah dan manfaat yang akan diperolehi oleh sesiapa pun yang membacanya. Pasti setiap ketukan punat di papan kekunci komputer anda akan menjadi bursa saham yang pasti menguntungkan di akhirat.

No comments: