Saturday, May 23, 2009

Setiap kebaikan itu ubat hati

Di suatu pasar Sabtu, seorang lelaki separuh baya sedang asyiknya menjelajah di segenap pasar mencari apa yang diingini. Sempat ia mencicipi semangkuk laksa di sebuah warung yang biasanya memang setia menunggu pelanggan di tepi jalan pekan kecil itu. Seusai menikmati hidangannya, ia meredah gerai-gerai pedagang bergerak yang menjadualkan operasi mereka setiap Sabtu di pekan tradisi itu.

Sampailah lelaki itu di sebuah gerai yang menjual berbagai macam jeruk berupa pala ketul, pala hiris, salak dan buah-buahan lainnya. Ia teringat yang isterinya tak pernah lupa memesan manisan pala setiap kali ada peluang ke Pulau Pinang. Dah tentulah yang ada di depan mata tak boleh dilepaskan.

Selepas mengumpulkan 3 bungkus yang berharga RM2.50 serba satu, maka dihulurkanlah RM 50 kepada wanita yang menjualnya. Begitu dia dapat balik bakinya sebanyak RM 40.00 sempat juga dia menegur bakinya kurang RM2.50. Tanpa berdolak-dalik wanita itu pun menghulurkan tambahan wang yang diminta. Tanpa merasa apa-apa yang janggal lelaki itu meneruskan penelusurannya di antara baki gerai yang belum sempat dikunjunginya sehinggalah saat hendak memutuskan masanya untuk kembali ke rumah dia tiba-tiba terfikir untuk mengira kembali jumlah bungkusan yang terdapat di dalam plastik tadi. Persoalan kenapa dari tadi rasa tidak sedap di hati menjinjing plastik yang berisi makanan kegemaran isterinya itu sempat menjengah di hati tiba-tiba terjawab.

"Ya Allah ! Ada 4 bungkus rupanya. Patutlah penjual tu kira RM 10.00," bisik hatinya.

Pling ! Sang pembisik was-was itu mulai memainkan peranannya seraya menyambung bisikan, "Alaah ! Apalah nak disibukkan sangat dengan barang terlebih yang bernilai HANYA RM 2.50 tu ? Rasanya tuan punyanya pun bukannya kisah sangat. Dah le engkau kena berjalan jauh nak balik ke gerai dia tu. Kenderaan kau depan mata tu aja. Isteri dah tunggu nak balik. Tak berbaloilah."

Nuraninya menyentak,"Ini bukan pasal nilai duit. Ini persoalan nilai diri di hadapan Rabb. Takkanlah kerana RM 2.50 yang tak mungkin menjadikan kita kaya mengejut tu pun kita nak tanggung dosa yang tak sepadan? Lagi pun besar nilainya kalau si penjual tu dapat balik barang dia. Dia tadi mungkin merasa yang dia betul tapi dek nak jaga hati pelanggan, dia tak protes, bahkan tak buat apa-apa punnak mengira balik barang dia. Bila dapat barang dia, dia mesti ada rasa yang kerugiannya meskipun kecil telah tertutup semula. Dari sudut dakwah pula, bila kita tunjukkan kita boleh jadi pembeli yang jujur, hatinya mungkin akan terbuka untuk sentiasa menjadi peniaga yang jujur. Kan ke besar kesannya tu ?"

Serta merta jaguh wiswas tu didepaknya sampai KO. Ini bukannya urusannya dengan tukang wiswas, tapi urusannya dengan Allah. Walau pun semua keadaan lojiknya tidak mendukung dia untuk kembali berjalan jauh ke gerai yang dia dah tersilap bayar tu, bicara hati nurani di bawah bimbingan Ilahi telah memberinya kekuatan untuk melakukan hal yang mungkin dianggap oleh ramai orang tak perlu nak pening-pening.

Begitu barang yang terlebih dihantar balik kepada tuan punya, beban hati yang berat ditekan oleh barang yang ringan itu umpama melepaskan beban tak tertanggung yang sudah lama dipikul. Legaaaaa ! Dapat pahala atau tidak itu urusan Allah.

Ini mungkin peristiwa kecil yang hanya melibatkan kebaikan-kebaikan yang kelihatan kecil tapi jika dikira-kira sepanjang hayat kita, berapa banyakkah kesempatan yang Allah beri kepada kita untuk melakukan kebaikan kecil ini sepanjang hayat ? Kalau kebaikan yang kecil pun boleh memberi kelegaan yang begitu banyak, bagaimana pula dengan kebaikan yang menuntut kita berkorban lebih banyak dari sekadar melawan nafsu tahap ringan, berjalan hanya beberapa ratus meter, mengeluarkan keringat yang tak sampai pun memenuhi satu sudu ?

Lelaki itu belajar dari peristiwa kecil itu meskipun pada usia yang sudah setengah baya dan sudah banyak peristiwa umpama itu dilaluinya. Alangkah sia-sia amal ma'ruf yang selama ini dikumpulkan jika dalam peristiwa kecil dan nilai bendanya yang secuil itu ia tewas kepada ajakan nafsu.

Maka selagi ada peluang membuat deposit pahala yang kecil jangan lepaskan peluang itu. Ia ubat hati yang paling mujarab menghadapi keuzuran jasmani yang kian dimakan waktu.

No comments: