Sunday, January 25, 2009

Interval : Biarlah tutur kata kita bermanfaat



Sekali jari-jemari kita mulai mengetuk keyboard, biarlah setiap detak ketukan itu menghasilkan pahala. Jangan sesekali kita menjengah ruang-ruang dosa yang sentiasa menggoda dan menunggu saat kita mengetuk pintunya.


Biarlah setiap kalimat yang kita susun untuk tatapan setiap insan yang sempat singgah atau terserempak dengan tulisan kita di sini tergolong dalam perkara yang khair ( kebajikan ) selari dengan saranan Rasulullah s.a.w. :


مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ


"Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhir maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam." ( Petikan sebahagian daripada hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim )


Dunia maya membuka ruang yang begitu luas untuk kita memilih apa sahaja yang hendak kita perkatakan dan pilihan medium dan format yang begitu banyak. Mungkin itu juga yang mendorong ramai kita untuk bercakap lepas tanpa kendali. Adakalanya didorong oleh kerahsiaan identiti sehingga merasa selamat daripada dikesan oleh sasaran bicara kita.


Inilah ujian kejujuran dan ketelusan yang sangat tinggi untuk kita buktikan kualiti dan kematangan kita sebenar. Tak ramai yang sanggup tampil dengan identiti yang jelas kerana tidak mahu menanggung risiko kesan timbal balik tutur katanya atau mengekalkan 'kebebasan' bertutur kata di luar norma dan etika. Tidak sedikit yang menumpang atas nama kebebasan bersuara dan mengekspresi diri tanpa mengambilkira kesan berantai daripada perbicaraannya.


Maka sebagai seoranga mukmin yang mencari keredhaan Allah swt, sewajarnya kita memulakan setiap tutur bicara kita kukuh di atas niat tersebut. Sudah pasti berbeza seorang hamba yang berbicara atas dasar taqwa kepada ALLAH dan mereka yang tiada peduli apakah Allah akan redha atau murka . Ini termasuk mereka yang menyusun kata hanya untuk tatapan manusia dan mencari keredhaan manusia.


Lantaran itu, berhati-hatilah memilih tutur kata bila sedang menyajikan isi blog. Bukan maksud saya kita perlu pertimbangkan risiko kerana selalunya manusia akan mengambil risiko atas dasar kerelaan dan kemarahan manusia. Pertimbangkan keredhaan Allah dan manfaat yang akan diperolehi oleh sesiapa pun yang membacanya. Pasti setiap ketukan punat di papan kekunci komputer anda akan menjadi bursa saham yang pasti menguntungkan di akhirat.

Imbas Balik Kelibat UTP dalam Debat IKIM 2009 Bah. 3

Perjuangan ini ...kalau ia boleh disifatkan sebagai satu perjuangan ... memulakan detiknya pada pertemuan lengkap pasukan ini dengan kehadiran saya. Saya dimaklumkan bahawa mereka telah pun membuat persediaan awal sesama mereka sebelum ini. Perjumpaan malam ini memeberi peluang untuk saya mengenali satu persatu ahli pasukan ini secara lebih dekat dan lebih individual , kalau bukan personal.

Mohd Hairul adalah ahli pasukan pertama yang saya jumpa semasa hendak berangkat. Kesan terawal saya, adalah beliau seorang yang ceria. Mungkin sudah agak matang berfikir, tapi berperawakan yang agak sedikit baby-face . ( Hairul ! Ni menyinggung perasaan atau satu pujian.Maaf kalau tak kena. ) Jangkaan awal saya, kalau lawan tengok muka mungkin tak gerun dan dianggap mudah dipatahkan ... sehinggalah mereka menyaksikan sendiri aksinya. Sepanjang perdebatan saya mengagumi ketajaman hujah dan bidasan yang seringkali mengena oleh Hairul untuk mengatasi cabaran lawan.

Junnyaruin ! Kejutan yang paling sensasi yang dibawa oleh UTP kali ini. Beliau seorang peserta bukan Islam yang bersedia bersama dengan pasukan ini untuk satu perdebatan yang menjurus kepada penghayatan nilai-nilai Islam. Seorang anak jati Iban dari keturunan Lingga dan Saratok ini pasti menjadi kebanggaan keluarganya kerana kebolehan beliau begitu menyerlah dalam bidang yang beliau minati ini. Saya dapati Junny seorang yang periang, mudah mesra, cepat memahami subjek dan cepat memberi response yang tepat. Cabaran yang saya rasa sangat menguja Junny sudah tentunya adalah bukan sahaja menguasai subjek yang bukan menjadi akidahnya, tetapi juga menghayati kandungan subjek Islam sehingga boleh berbicara sepetah mereka yang berakidah Islam. To certain level, Junny telah melepasi ujian ini pada tahap yang sangat cepat dan tepat. Semoga Junny menapak lebih jauh lagi dalam penerokaannya.

Amirah, satu-satunya mahasiswi dalam pasukan ini, seorang yang berpotensi dan memerlukan lebih pengalaman untuk mempertajamkan hujahnya. Juga seorang yang cepat memahami subjek dan punya keberanian untuk tampil. Tanpa mengetahui latarbelakang ringkas Amira, seseorang mungkin akan menilainya sebagai ragu dan kurang keyakinan untuk tampil. Hanya dengan memahami bagaimana Amirah cuba untuk mencabar dirinya dan tampil dalam kapasiti yang lebih semakin baik dari satu debat ke satu debat, insya Allah, baru kita nampak beliau seorang yang berpotensi untuk menjadi debator yang baik. Penampilan beliau buat kali perama dalam arena debat ini pasti menjadi pengalaman berharga untuk Amirah maju lebih banyak tapak ke depan. Amirah telah berjaya membuktikan penampilannya kali pertama ini tidak sekadar mencukupkan kuota wajib seorang peserta wanita dalam kejohanan ini.

Nur Iswadi adalah wakil pasukan yang pertama bertemu dengan saya. Saya kira Iswadi adalah regular face yang saya biasa jumpa di masjid UTP. Kedekatan hati dengan Iswadi wujud atas unsur biasa berjumpa walaupun tak mengenali nama. Saya tidak berkesempatan menyaksikan Iswadi beraksi sepanjang debat. Tapi dari penglibatan beliau yang begitu komited dalam persediaan ini membuktikan Iswadi dibantu oleh 2 orang lagi ahli kelab yang lain sebagai seorang teammaker yang berkesan.

Begitulah penilaian awal saya terhadap mereka secara individu. Selanjutnya adalah mengatur strategi memposisikan mereka, menentukan perspektif yang menyerlahkan kekuatan pasukan, mengagihkan material hujah dan bidasan dan membuat penggulungan yang boleh memperkemaskan hujah pasukan dan meneutralkan atau menyingkirkan bidasan lawan.

Pasukan pertama yang akan dihadapi adalah USIM ( pencadang) dalam tajuk "Penerokaan tanah untuk biofuel merugikan negara."

Semakin larut malam , kesungguhan dan azam tinggi mereka untuk mengatasi hadangan pertama ini terbukti dari persediaan awal mereka yang telah dibuat jauh-jauh hari lagi. Kehadiran saya malam ini mungkin banyak mengulang apa yang mereka telah ketahui.

Perbincangan awal dalam tajuk ini tidaklah tertumpu sangat kepada bidasan lawan yang akan memulakan dengan definisi dan tajuk dan ruang lingkup perdebatan. Selain daripada inventori hujah yang sudah disediakan, kami brainstorm dahulu dengan mengantisipasi apa agaknya hujah lawan untuk mempertahankan tajuknya ini dan apa bidasan yang boleh disediakan.

Prediksi pertahanan lawan :
- Tanah untuk pertanian berkurang/dikorbankan utk biofuel.
- Kesan alam sekitar akibat kekurangan nutrien tanah.
- Kesan ekonomi.
- Penggadaian tanah kepada kuasa ekonomi asing.

Bidasan :
- Jumlah tanah terbiar di seluruh negara.
- Dasar penggunaan tanah yang sepatutnya tidak menimbulkan isu kekurangan tanah untuk makanan.
- Tanah tidak semestinya lebih luas untuk meningkatkan produktiviti makanan. Teknologi pengadaan benih yang lebih berkualiti dan penjagaan tanaman boleh menambah dan memaksimumkan hasil. Jadi penerokaan untuk biofuel malam boleh menambah hasil tanpa mengurangkan produsi makanan.
- Malaysia boleh bertindak sebagai pelopor kemajuan bioteknologi.
- Menyediakan biofuel sebagai bahan alternatif akan mengurangkan ketergantungan kepada sumber bahan bakar berasaskan fosil ( minyak dan gas ). Ini sekaligus akan memanjangkan jangka hayat simpanan minyak dan gas asli.
- Biofuel mesra alam. Mengurangkan penggunaan minyak mentah akan mengurangkan kos rawatan dan pencegahan pencemaran alam sekitar.

Sebelum saya meninggalkan pasukan utk meneruskan perbincangan mereka, nampaknya keyakinan mereka bertambah untuk beraksi menghadapi lawan mereka esok.

Perjalanan pulang ke bilik memberi saya peluang menyaksikan betapa pasukan lain yang bertebaran di sekeliling kami juga tidak mahu kehilangan kekuatan mental mereka dan masih belum berganjak dari latihan mereka walaupun jam sudah menunjukkan pukul 1.00 pagi !

Next : 'Account' persaingan sengit dengan USIM.

Imbas Balik Kelibat UTP dalam Debat IKIM 2009 Bah. 2

Pengalaman yang begitu menarik bersama pasukan debat yang berpotensi ini telah mendorong saya untuk menulis seumpama travelog pasukan ini menghadapi cabaran getir dalam aena debat yang secara zahirnya adalah di luar bidang yang mereka tekuni.

Dari maklumat ringkas dan sangat tidak memadai yang saya terima sebelum perjalanan ini, maklumat awalan yang saya perolehi adalah sebanyak 16 pasukan telah disahkan penyertaan mereka. UTP berada dalam kumpulan D bersama dengan USIM, UMS dan MMU. Tanpa memperkecilkan cabaran UMS dan MMU, saya jangka cabaran daripada USIM adalah yang paling harus kami perhitungkan memandangkan mereka terdiri daripada mantan pelajar sekolah agama dan jurusan di USIM juga sangat berorientasi kepada aplikasi pengajian Islam dalam segala bidang termasuk profesional.

Kedatangan kami sekitar waktu maghrib, Ahad, 11 Jan dipintu gerbang IKIM disambut dengan jawaban "kami tahu apa-apa' oleh para pengawal. Kami terpaksa mencari siapa yang boleh kami hubungi untuk mengetahui persediaan logistik seperti penginapan dan makan bagi pasukan kami. Hujung-hujungnya kami sampai juga ke destinasi sebenar, 'hotel' ( sebenarnya asrama ) Kompleks Tenis Tun Razak yang berseberangan dengan bangunan IKIM. Hampir semua pasukan telahpun tiba. Mahasiswa ditempatkan seramai 8 orang sebilik. Sempat jugalah makan malam.

Janjinya kami akan berkumpul pada pukul 10.00 mlm.

Next : Taaruf dan prospek yang menarik.

Imbas Balik Kelibat UTP dalam Debat IKIM 2009 Bah. 1

Walaupun telah disebut-sebut penglibatan Unit kami dengan persediaan penyertaan pasukan UTP dalam Debat Kefahaman Islami IKIM 2009 (12-16 Jan), saya tidak mendapat apa-apa berita berkenaan dengannya sehinggalah saya diberitahu oleh kawan sekerja di JPSP pada hari Rabu 7 Jan 2009 yang lepas. Itu pun baru meminta maklum sama ada saya dapat mengiringi pasukan UTP ke kejohanan tersebut untuk menggantikan advisor Kelab debat lain yang beliau kata tidak 'available'. Saya rasa ini peluang yang baik untuk menyumbang kepakaran membantu pasukan UTP mencapai tahap yang lebih baik daripada pa yang pernah mereka capai. UTP adalah Naib Johan siri debat ini selepas kalah dengan UMS pada tahun 2006. Manakala tahun 2007, saya tak nampak nama UTP di dalam senarai pendahulu. Sama UTP tak ikut atau tumpas di pusingan awal. Saya rasa ini cukup menguja.

Sampai hari Jumaat, 9 Jan , saya masih tidak menerima apa-apa konfirmasi mengenai penglibatan saya dengan pasukan UTP yang dicadangkan. Sementara itu, perancangn program Unit kami sepanjang Majlis Aluan Siswa minggu depannya juga sudah agak padat ditambah dengan in-house training yang saya rancang untuk anggota unit kami. Hanya sejenak selepas habis masa kerja pada hari Jumaat tersebut barulah saya mendapat pengesahan saya bersama team tersebut. Orang-orangnya pun saya tak kenal. Saya pun tak dapat gambaran tentang kemampuan mereka dalam konteks perdebatan IKIM ini. Saya hanya mendapat nombor kontak drebar dan salah seorang peserta debat.

Sehingga pagi Ahad , 11 Jan, barulah saya dapat bertemu dengan salah seorang wakil team ini untuk mengatur pemberangkatan ke IKIM. Saya masih 'blurr'tentang persiapan mereka dan apa peranan yang saya boleh mainkan.

Ketika berangkat barulah saya sedari bahawa mereka adalah anggota Kelab Debat UTP yang sebelumnya baru sahaja menjuarai salah satu debat antara Universiti beberapa bulan yang lalu.

Cabarannya :
1. Menyamai prestasi yang tertinggi yang pernah dicapai atau sekurang-kurangnya melonjakkan kembali kedudukan pasukan ini dari kejatuhan mereka pada tahun 2007.
2. Menampilkan pasukan yang pernah menang di arena debat umum dalam debat yang menjurus kepada aplikasi keilmuan Islam.
3. Kemampuan mereka dalam subjek Islam tidak saya ketahui. Jika tahap mereka di bawah tahap purata pasukan lain, saya mesti menggunakan kepakaran saya ada sebaik mungkin untuk membantu mengatur strategi debat dan melengkapkan mereka dengan sumber maklumat yang tepat.
4. Kali terakhir saya melibatkan diri dalam pasukan debat adalah 1980 ! Itu sudah 28 tahun yang lalu. Pendekatan debat ketika juga sangat konvensional ditambah dengan kesukaran membuat inventori maklumat persediaan yang sangat terbatas sumber dan medianya. Sementara itu, arena debat hari ini, dilengkapi dengan assess yang cepat kepada maklumat yang diperlukan. Sepertimana mudahnya kita mengakses maklumat, begitu jugalah lawan kita. Hanya pengalaman menyaksikan debat-debat terbuka yang berprofil tinggi seperti Ahmad Deedat, Dr Zakir Naik, dan mereka yang sekaliber saja yang boleh menjadi model. Dalam masa yang sama saya juga tidak begitu mengikuti perkembangan arena debat di peringkat universiti di Malaysia.

Saya cukup teruja. Mungkin awalnya penglibatan saya hanyalah sekedar mengiringi. Tapi sebagai seorang insan yang sentiasa mencari dan mudah terstimulasi oleh wacana ilmiah, saya mungkin akan melibatka diri lebih daripada seorang pelengkap dalam perjalanan ini.

Next : Persediaan pasukan untuk pusingan awal.

Still alive ! Alhamdulillah ......

Lama juga rupanya dah tak masuk apa-apa kat blog ni. Memanglah tak ada orang baca sangat. Kurang-kurangnya dengan menulis di tempat yang boleh menjadi tatapan umum, kecermatan bertutur kata akan bertambah, dan ketajaman berfikir boleh meningkat. Bukan tak ada sebab blog ni tidk terisi. Bukan tidak online. Tak dinafikan juga mungkin sedikit elemen 'malas' selepas banyak masa disita untuk elemen lain. Tapi kalau nak difikir-fikir, orang lain lagi sibuk, tapi tak ketinggalan menyumbangkan buah fikiran yang berharga untuk dimanfaatkan oleh orang lain lewat blog mereka. Salute sungguh kat mereka ni. Semoga Allah beri kekuatan untuk terus berada di atas jalan mencari keredhaan-Nya.