Tuesday, October 25, 2011

Dari Sham Kamikaze ke Lau Kana Bainana



    Ahmad Lutfi Othman
 

http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakah/6150-dari-sham-kamikaze-ke-lau-kana-bainana

Petang Khamis lalu, semasa singgah di Masjid Bukit Indah, Ampang, saya tertarik dengan poster warna-warni yang ditampal berdekatan pintu utama. Forum agama, "Syoknya Islam", di SUrau Pandan Indah, menampilkan beberapa personaliti seperti Sham Kimakaze, Diana Amir dan Irma Hasmie.

Poster seumpama itu bukan perkara asing lagi. Kini, sepanduk, kain rentang dan risalah yang mempromosi aktiviti keagamaan artis-artis terkenal tanahair mudah dilihat di mana-mana. Kalau dahulu, nama-nama yang kita dengar sekadar Akil Hay, Wardina, Noor Kumalasari, Waheeda, Aishah, kini senarainya lebih panjang.

Selain Bob Lokman, saya cepat terkesan dengan beberapa selebriti yang dikatakan sama-sama "berhijrah" seperti Iwan Syahman, Rahmat Ekamatra dan Catriona Ross.

Semasa membelek sisipan Utusan Malaysia, Mega, edisi Khamis itu juga, dua lagi nama artis lelaki dilaporkan "membuat anjakan pada penampilan dan cara hidup yang lebih mengikut hukum syarak", iaitu Abdullah Ahmad (Lah) dan Mohd Aizam Mat Saman (Adam VIP).

"Ketika mengikuti kelas agama bersama Ameer Ruffedge dan Zaf, buat pertama kali saya mendengar qasidah dan hati ini terus jatuh cinta kerana kemerduannya. Dalam qasidah ada jaz, R&B dan ia membuatkan saya menitis air mata kerana irama seindah itu tidak pernah dipandang," kata Lah.

Segera saya teringat, semasa menjadi editor majalah Muslimah, hampir 20 tahun lalu,  saya pernah meminta wartawan menemuramah penyanyi Rahimah Rahim, yang mencipta kejutan dengan memilih untuk menutup aurat.

Majalah yang saya terajui, Wasilah, sekitar tahun 2000 juga memilih Fauziah Ahmad Daud sebagai hiasan muka depan, juga selepas memakai tudung. Ogy turut berkunjung ke pejabat saya di Medan Idaman, Gombak, yang turut menerbitkan majalah proreformasi, Detik dan siri akhbar politik tidak berkala. Wasilah dan Detik kemudiannya diharamkan KDN.

Melalui buku Bagaimana Akhirnya Saya Bertudung,  dirakam pengalaman Noor Kumalasari: "Bukan saja saya bertudung, malah saya rasa perlu berpakaian seperti dituntut Allah, bajunya longgar, daripada kain berwarna yang tidak jarang akhirnya muncullah fesyen hitam lebar... Hijab memberi kesan besar ... Saya rasa Allah sangat dekat dan saya tidak ingin kehilangannya."

Fenomena para artis tanahair "berhijrah" menghayati cara hidup Islam memang perkembangan mengembirakan. Banyak pihak melihat kehidupan selebriti terkemuka mempunyai pengaruh besar ke atas kehidupan anak-anak muda. Mereka dikatakan mudah terpengaruh dan terikut-ikut gaya hidup  personaliti yang mendapat liputan meluas media.


Ada artis yang terlibat, terutama wanita, memilih untuk berundur terus daripada alam hiburan. Mungkin itu adalah pilihan terbaik bagi memastikan dapat "menjaga iman dan keyakinan" sebaiknya. Namun, ada yang berpendapat, bakat alam itu perlu dimanfaatkan di atas "jalan dakwah" atau cuba "memperbetulkan dunia seni yang kelam-kabut" itu.


Iwan, dalam interbiu dengan Harakah mengingatkan, artis kembali kepada Islam bukanlah menjadi sekadar trend sahaja. Beliau tidak mahu ketika orang nak dakwah, semua nak dakwah, tutup aurat juga begitu, tetapi ia hanya sementara dan akhirnya kembali seperti asal.


Catriona turut melakukan muhasabah diri yang baik dan cukup merendah diri. Katanya, untuk melakukan perubahan adalah mudah, namun untuk mengekalkan perubahan itu sangat payah.

"Untuk itu, saya rasa sambil kita berubah, kita perlu mencari ilmu supaya lebih memahami. Pilih sahabat yang baik, hadiri majlis-majlis ilmu termasuk usrah dan banyakkan berdoa agar Allah tidak memesongkan hati kita," ujar pelakon yang nama penuhnya Catriona Norhayati Rose Bahrin.


Irma Hasmie juga mempunyai pendapat sama. Cabaran utama baginya adalah untuk kekal istiqamah dengan perubahan itu. "Apa pun, semuanya bergantung kepada niat asal. Segalanya hanya kerana Allah," tegasnya. Irma juga menekankan kepentingan sentiasa berdoa kepada Allah untuk ditetapkan hati dan menguatkan tekad dalam proses penghijrahan itu.

Secara peribadi saya tidaklah sampai ke peringkat "mahu membebankan" personaliti berkenaan. Alhamdulillah jika mereka berminat atau terdorong untuk menyuburkan kerja-kerja dakwah. Namun sekiranya tidak berkemampuan, sudah cukup baik jika mereka dapat berkongsi pengalaman menemui hidayah dan melayari dunia baik dengan audien yang lebih ramai.

Dunia seni juga masih mempunyai ruang cukup luas yang perlu "diisi dan dibersihkan" seadanya, atau sekurang-kurangnya "tidak dikotori" lagi. Misalnya, bukankah lagu-lagu bermesej ketuhanan dan kemanusiaan, yang dinyanyikan, antara lain oleh Ramli Sarip, M Nasir, Ito, Amy Search dan tentunya tidak terkecuali Mawi serta artis-artis nasyid lainnya juga begitu menghiburkan dan perlu dimartabatkan secara lebih mantap dalam dunia muzik tanahair?

Saya melihat perkembangan menarik mengenai "penghijrahan" artis-artis ini apabila mereka mewakili pelbagai sektor dalam dunia hiburan. Ya, ada penyanyi, pelakon dan juga pemuzik terkenal seperti Sham Kimikaze yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi.


Saya mengingati penampilan istimewa Sham dalam beberapa persembahan utama TV, misalnya Akademi Fantasia. Gayanya mengetuai barisan pemuzik menarik sekali; ada keunikan dan aura tersendiri.

Membaca wawancara Harakah terbaru dengannya, saya rasa terharu, terutama apabila Sham menyentuh soal dugaan dan cabaran semasa berdakwah: "Jangan mengeluh ... Jangan bila nak berdakwah, Allah uji sikit sahaja, kita terus cabut lari. Kita berpegang kepada sirah Nabi. Walaupun ada rintangan, kita masih boleh menyampaikan dakwah."


Selain itu, lebih penting lagi adalah medium untuk menampung "penghijrahan" mereka itu. Tentulah tidak cukup sekadar radio Ikim, stesen TV Al-Hijrah dan Astro Oasis misalnya. Saya lebih menekankan peluang dan ruang yang perlu dihampar oleh kerajaan-kerajan negeri Pakatan Rakyat, yang  boleh memainkan peranan lebih besar.
Untuk mereka berkongsi pengalaman syahdu dan berdakwah, rasanya tidaklah begitu sukar. Badan-badan dan institusi formal Islam serta surau-masjid pastinya cukup mengalu-alukan rakan-rakan artis kita itu. Cuma yang saya bimbangkang ialah medan untuk mereka berkarya. Sediakan gelanggang secukupnya untuk mereka terus  menghibur secara Islami itu.

Dan usah lupa, "pengisian baru" ini akan tempang jika tenaga di sebalik tabir -- misalnya pencipta lagu atau penulis lirik, juga pengarah dan penulis lakon layar -- tidak bersama-sama menghayati konsep seni Islam.

Saya pernah terbawa-bawa rasa marah sampai terganggu tidur, selepas menonton teater atau drama yang dikatakan berunsurkan Islam tetapi membawa "mesej menyesatkan". Imej pendakwh atau orang yang kembali ke jalan benar masih diberikan persepsi stereotaip, seperti tidak beradab dengan ibu bapa, kasar ketika menyeru kepada kebaikan dan fanatik melulu kepada ketua. Ya, kita begitu ketandusan penerbit dan pengarah, yang dapat memahami bagaimana bentuk hiburan yang mendidik jiwa.

Terus-terang, saya belum dapat melihat siri drama TV kita yang setanding dengan sinetron Para Pencari Tuhan, karya Deddy Mizwar, yang menyampaikan pesan agama secara santai dan menghiburkan. Temanya mudah, berkaitan kehidupan harian di kampung, namun terselit nasihat (bukan khutbah) yang mengesankan.

Begitu juga dengan filem Cinta Bertasbih, nukilan Habiburrahman El Shirazy; sedangkan siri drama TV tempatan bertemakan cinta yang melambak sekarang jarang dapat ditemui "keindahan yang kudus". Tentunya saya lebih mengharapkan agar munculnya filem seperti Sang Murabbi, yang mengisahkan mantan Ketua Majlis Syura PKS, Indonesia, KH Rahmat Abdullah  ...

Rupanya dalam hal ini, dunia hiburan Islami dan juga karya-karya sastera yang bermutu tinggi, kita masih perlu lebih banyak merujuk kepada Indonesia.

Semasa mengedit kolum ini, saya terdengar lagu Arab yang penuh syahdu dan cukup menggetarkan nurani, sehingga tanpa disedari air mata mengalir, walaupun tanpa mengetahui maknanya dengan sempurna. Lagu "Lau Kana Bainana" menjadi santapan telinga saya tiap hari ... tentang kecintaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan bayangan keberadaannya bersama kita. Begitu mengharukan dan terasa sebak menikam dada.

Bagi saya, ia "kuliah  akhlak" yang cukup sempurna.

Selepas meneliti terjemahan lirik "Lau Kana Bainana", masya-Allah, cukup halus dan menusuk ke jiwa paling dalam. Melodinya meresap jauh ke sanubari. Dengarlah ....

No comments: